Wednesday 8 June 2016

Mawan Yakin Sembilan ADUN Tanpa Parti Akan Diterima PBB


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan Tan Sri William Mawan Ikom percaya bahawa permohonan sembilan orang ADUN yang kini tidak mempunyai parti akhirnya akan diterima oleh Parti Pesaka Bumiputera (PBB).

Wakil rakyat terbabit telah memohon untuk menyertai PBB, tetapi Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem telah meminta mereka mendapat pandangan dan maklum balas daripada pengundi dan rakyat akar umbi sama ada bersetuju atau tidak dengan keputusan mereka itu sebelum keputusan muktamad dapat dibuat.

Menjelang pilihan raya negeri ke-11 pada 7 Mei lalu, mereka telah disyaratkan keluar parti masing-masing sebelum dibenarkan bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).

Sesudah itu, Adenan berkata, mereka boleh membuat keputusan untuk menyertai mana-mana parti yang disenangi.

Bagi mantan Menteri Pembangunan Sosial itu, semua itu sekadar formaliti bagi memuaskan hati semua pihak, termasuk pengundi yang telah menyokong mereka dalam pilihan raya lalu, katanya kepada pihak media di lobi Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN),  semalam.

Beliau diminta mengulas arahan  Adenan tentang perkara itu setelah mempengerusikan  mesyuarat Majlis Tertinggi PBB, Ahad.

“Ketua Menteri beritahu jika saya memang ingin benar-benar sertai PBB, saya akan diterima,” katanya menjawab soalan apa yang akan dilakukan beliau jika permohonannya ditolak.

PBB, parti tulang belakang BN negeri kini mempunyai 40 ADUN daripada 82 ADUN.

Pada pilihan raya lalu, pembangkang memenangi 10 kerusi, berkurangan enam daripada yang dimenangi pada 2011.

Mawan digugurkan daripada menganggotai Kabinet baharu Adenan baru-baru ini di sebalik spekulasi bahawa beliau akan dilantik sebagai menteri di peringkat persekutuan.

Beliau dikatakan akan mengisi kuota bagi PBB yang dikosongkan oleh Datuk Seri Douglas Uggah Embas yang kembali ke Sarawak untuk bertanding di kerusi DUN Bukit Saban. Douglas dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri, memenuhi kouta sayap Pesaka PBB.

Namun, ada pandangan menyatakan Mawan tidak wajar dilantik sebagai menteri penuh kerana kedudukan beliau dapat dianggap sebagai junior dalam hierarki parti kalau diterima menyertainya nanti.

Berkaitan perkara ini, Mawan menyerahkan nasibnya kepada Tuhan.

Mawan agak positif tentang perkara ini dan memberitahu: “Ya, saya tak ada kerja sekarang. Tetapi saya agak positif tentang perkara ini.” – Sarawakvoice.com

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List