Thursday 11 August 2016

Sarawak Masih Kekal Dengan Pendirian Dapatkan Penjelasan Daripada Petronas


KUCHING:  Sarawak masih kekal dengan pendirian untuk mendapatkan penjelasan daripada Petronas walaupun syarikat itu telah mengeluarkan kenyataan berhubung isu permohonan permit pekerjaan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, ia hanya kenyataan yang dikeluarkan syarikat berkenaan namun mereka masih belum memberi sebarang alasan mengenai menamatkan perkhidmatan rakyat Sarawak daripada operasinya di negeri ini.

“Kita masih menunggu butiran atau penjelasan alasan mereka, yang hari ini (semalam) hanya kenyataan akhbar yang dikeluarkan mereka.

“Menurut kenyataan itu keputusan (moratorium) mungkin berdasarkan tanggapan salah terhadap penstrukturan semula ini dan ini bermakna mereka (Petronas) harus ada alasan untuk menyatakan perkara berkenaan.

“Kita masih menunggu butiran dan selepas itu baharu kita akan membuat keputusan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai perkembangan isu Petronas,  di mana kerajaan negeri telah membekukan serta-merta permohonan permit kerja baharu untuk kakitangan Petronas dari luar Sarawak.

Langkah itu ekoran aduan bahawa Petronas menamatkan perkhidmatan rakyat Sarawak daripada operasinya di Sarawak walaupun jumlah rakyat tempatan sudah cukup rendah.

Sementara itu, semalam dalam kenyataan yang dikeluarkan Kumpulan Komunikasi Strategik Jabatan Perhubungan Media Petronas menyatakan, Petronas bimbang dengan keputusan kerajaan negeri melaksakanakan moratorium ke atas semua permohonan permit baharu pekerjaan untuk pekerja luar Sarawak bekerja di negeri ini.

Syarikat itu percaya keputusan yang diumumkan pada hujung minggu lepas mungkin dibuat berdasarkan tanggapan salah terhadap penstrukturan semula perniagaan kumpulan itu yang telah secara tidak adil memberi kesan kepada pekerjanya dari Sarawak.

Sementara itu berhubung penubuhan parti baharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia di bawah naugan Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi berkata, ia terpulang kepada mereka untuk berbuat demikian.

“Ia terpulang kepada mereka untuk berbuat demikian dan ia tidak ada kaitan dengan Sarawak.


“Asalkan perkara itu tidak mengganggu keamanan dan ketenteraman rakyat negeri ini,” tegasnya. - UB

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List