Thursday 22 December 2016

Ekspot Sarawak Diyakini Kukuh Tahun Hadapan

Pengarah Wilayah MATRADE Sarawak, Leany Mokhtar ketika memberi penerangan mengenai rangkaian operasi MATRADE di peringkat global pada Program Outreach MATRADE & Agensi MITI 2016 di Bintulu
BINTULU: Eksport Sarawak diyakini terus berkembang kukuh sepanjang tahun depan walaupun berdepan pelbagai cabaran semasa susulan ketidaktentuan ekonomi global.

Malah, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menjangka negeri ini mampu mengekalkan kedudukannya sebagai pengeksport utama negara, dengan produk petroleum, khususnya gas asli cecair (LNG) kekal sebagai penyumbang utama.

Pengarah MATRADE Wilayah Sarawak, Leany Mokhtar, berkata keyakinan itu juga bersandarkan kepada peningkatan permintaan terhadap produk berkenaan dari kalangan negara pengimport, terutama Jepun, Korea, China, Taiwan dan India.

"Selain LNG, sektor pembuatan membabitkan produk perkayuan, elektrikal dan elektronik dikenalpasti antara penyumbang terbesar prestasi memberangsangkan eksport negeri ini, begitu juga minyak sawit.

"MATRADE mengambil pendirian optimis, malah yakin dengan keupayaan eksport negeri ini untuk terus berkembang tahun depan walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran di peringkat global," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Outreach MATRADE & Agensi Di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) 2016, di sini semalam.

Keseluruhannya, 70 wakil syarikat pelbagai sektor, terutama  industri gas dan minyak menyertai program berkenaan yang juga sebahagian daripada inisiatif MITI ke arah usaha meningkatkan  penyertaan pengeksport dalam kalangan usahawan tempatan.

Leany ketika mengulas lanjut, berkata sepanjang Januari hingga Oktober 2016, Sarawak mencatatkan nilai eksport mencecah RM49.9 billion berbanding RM61 billion bagi tempoh sama tahun lalu.

"Berlaku sedikit penurunan dari segi nilai eksport antara tahun ini dan tahun lalu iaitu kira-kira 18..2 peratus. Ini disebabkan beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan, khususnya peningkatan kos bahan mentah dan ketidaktentuan kadar tukaran wang disebabkan situasi ekonomi semasa.

"Namun, kita bersikap positif terhadap perkara itu, malah sedang merangka pelbagai pendekatan strategik dalam mendepani cabaran berkenaan," katanya.

Katanya, antara pendekatan dilaksanakan termasuk memperkukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Sarawak melalui penganjuran misi eksport ke luar negara, khusus bagi meneroka pasaran baharu.

Pada masa yang sama, MATRADE turut merangka inisiatif meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam pasaran eksport melalui penyediaan kemudahan berkaitan melalui rangkaian pejabatnya di seluruh dunia. -UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List