Saturday 13 January 2018

Empiang, Fadillah berundur


KUCHING: Tan Sri Empiang Jabu dan Datuk Seri Fadillah Yusof semalam menyatakan hasrat mengundur diri daripada jawatan Ketua Wanita dan Ketua Pemuda.

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Presiden PBB yang juga Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, bagi menggantikan dua jawatan tersebut.

Kali ini Ketua Wanita akan disandang sayap Bumiputera, sementara Ketua Pemuda disandang sayap Pesaka.

“Ini sudah jelas secara konsensus dan persefahaman antara kita. Selain itu, turut menjadi kesepakatan ialah kita ingin memaklumkan jawatan Ketua Wanita dan Ketua Pemuda ini tidak akan dipertandingkan pada Perhimpunan Agung Tritahunan PBB nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBB yang dihadiri dua pemangku Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta ahli Majlis Tertinggi PBB lain di Ibu Pejabat PBB di sini, semalam.

Abang Johari berkata, sudah menjadi tradisi dan budaya dalam PBB untuk memberi peluang memimpin kepada generasi muda yang telah dilatih.

“Dengan ini, parti ingin menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Empiang sepanjang beliau menerajui sayap wanita.

“Beliau telah menyumbang banyak kepada pembangunan PBB khasnya sayap Wanita dan menjadi contoh yang amat baik kepada ahli Wanita. Beliau telah mengumumkan untuk berundur,” katanya.

Abang Johari berkata, parti turut menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada Fadillah yang telah menjawat jawatan Ketua Pemuda sejak 2007.

“Kita juga amat menghargai sumbangan Datuk Seri Fadillah yang telah menjadi Ketua Pemuda dan kini menyerahkannya kepada yang lebih muda,” katanya.

Mengulas mengenai kekosongan dua jawatan berkenaan, Abang Johari berkata kepimpinan parti sudah mempunyai pengganti.

“Kita sudah ada (dalam fikiran), namun kita tidak dapat mengumumkan awal memandangkan ia perlu disahkan semasa perhimpunan nanti. Itu yang akan menentukan,” tegasnya.

Empiang yang ditemui pemberita selepas mesyuarat berkata, beliau amat berbesar hati dan gembira melepaskan jawatan itu kerana yakin penggantinya dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Menggalas jawatan Ketua Wanita selama 10 tahun sejak 2007, Empiang berkata beliau menyaksikan sayap Wanita parti banyak berkembang dan mampu lebih maju pada masa akan datang.

“Saya berasa gembira untuk mengundur diri kerana saya berpuas hati dapat menyumbang sehingga membawa parti hingga ke peringkat ini.

“Saya telah melihat banyak perkembangan bagi sayap Wanita yang juga mampu mengambil alih dengan lancar daripada saya dan ramai di kalangan mereka sangat berkelayakan,” katanya yang pernah menjadi Timbalan Ketua Wanita sejak 1984.

Sementara itu, Fadillah ketika ditemui berkata beliau berterima kasih kepada semua barisan kepimpinan Majlis Kerja Tertinggi serta sayap Pemuda kerana memberi kepercayaan kepadanya menerajui Pemuda.

“Sebagai adat resam dan budaya dalam PBB, kini kita ada ruang dan peluang kepada yang muda untuk mengambil alih dan saya telah berkhidmat kepada Pemuda juga atas sokongan baik daripada sayap Pemuda.

“Namun apa yang penting ialah kekalkan semangat bersatu kerana dengan semangat persaudaraan serta setia kawan dalam PBB, parti dapat memenangi pilihan raya dengan besar.

“Saya juga yakin sayap Pemuda yang dilantik nanti akan meneruskan perjuangan ini,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai pertandingan untuk jawatan tertinggi lain dalam PBB pada perhimpunan nanti.

Beliau pada masa ini merupakan Naib Presiden atas kapasiti sebagai Ketua Pemuda.

Ekoran itu, umum menjangka jawatan tersebut bakal disandang Gerald Rentap Jabu, daripada sayap Pesaka, yang kini merupakan Timbalan Ketua pergerakan itu.

Sementara itu, khabar angin turut menyebut Timbalan Ketua Wanita PBB Dato Sri Fatimah Abdullah daripada sayap Bumiputera bakal menggantikan Empiang.

Fatimah ketika diminta mengulas berkata, ia bergantung kepada Ketua Menteri yang juga Presiden parti dan dalam PBB, budaya taat kepada ketua adalah utama.


“Sayap Wanita PBB menyerah kepada Ketua Menteri sebagai Presiden PBB dalam perkara ini,” katanya. - Utusan Borneo

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List