Friday 12 January 2018

Sarawak Tubuh Jawatankuasa Mengenai MA63


KUCHING: Kerajaan Negeri menubuhkan Jawatankuasa Khas dan Jawatankuasa Teknikal bagi menyelesaikan isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata jawatankuasa khas ini akan dianggotai oleh tiga timbalan ketua menteri iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri James Masing dan juga Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan. 

“Kita mempunyai pendekatan kita sendiri untuk menyelesaikan isu berkaitan MA63 dan kita berterima kasih kepada Perdana Menteri atas maklum balas beliau dan bersikap terbuka. 

“Jawatankuasa khas ini akan berbincang mengenai isu-isu am berkaitan MA63 manakala jawatankuasa teknikal ini akan membincangkan mengenai isu yang lebih rumit,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat majlis kerja tertinggi Barisan Nasional (BN) di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini hari ini. 

Tambah Abang Johari, perbincangan mengenai MA63 akan dibuat berdasarkan kepada dokumen dan fakta yang ada dan bukannya atas dasar emosi. 

“Perbincangan ini adalah berdasarkan kepada jawatankuasa antara kerajaan (IGC) yang asal yang sepatutnya dikaji semula 10 tahun selepas kemerdekaan tetapi tidak dibuat kerana pengerusinya ketika itu meninggal dunia (Tun Ismail Abdul Rahman). 

“Jadi, apa yang kita mahu buat sekarang ini berbincang berdasarkan perimeter sebelum ini dan dalam beberapa bulan ini jawatankuasa teknikal yang diketuai Peguam Negeri akan duduk berbincang,” katanya.

Dalam pada itu, rundingan mengenai penurunan kuasa antara Sarawak dan Kerajaan Persekutuan yang mana kini telah memasuki fasa kedua berjalan dengan lancar. 

Fasa kedua rundingan ini menurut Abang Johari lebih menjurus kepada soal pentabdiran dan hak-hak perlembagaan Sarawak berdasarkan fakta dan dokumen. - Utusan Borneo
-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List